Berkumpul di Facebook

Pelajar sara hidup dengan RM3 sehari

BANDAR RAYA GUATEMALA - Beberapa orang pelajar kolej Amerika Syarikat (AS) menghabiskan musim panas mereka dengan menetap di Guatemala berbekalkan perbelanjaan harian cuma AS$1 (RM3).
 
Jumlah itu merupakan pendapatan harian golongan miskin di negara Amerika Tengah berkenaan dan lebih 1 bilion penduduk di seluruh dunia.
Dua pelajar terbabit, Chris Temple dan Zach Ingrasci kemudian menerbitkan sebuah filem, Living on One untuk menceritakan pengalaman mereka.
Bercorak dokumentari, filem itu memaparkan kesukaran mereka membeli makanan, selain terpaksa membayar bil dan menangani situasi kecemasan apabila seorang daripada mereka jatuh sakit dengan berbekalkan wang yang sedikit itu.
Living on One juga cuba memaparkan cara penduduk miskin tegar menguruskan wang mereka dan bagaimana skim mikro kredit dapat membantu meringankan beban golongan tersebut.
 
"Kami percaya jika kami sendiri berbelanja cuma AS$1 sehari, kami dapat memaparkan dengan lebih jelas kepada penonton tentang kesukaran yang dialami penduduk miskin dalam menjalani kehidupan harian," kata Temple.
Untuk kajian sosial berkenaan, dua pelajar Kolej Claremont McKenna di California itu tinggal menyewa selama 56 hari di sebuah pondok usang di kampung Pena Blanca pada 2010 bersama dua pelajar lain, Sean Leonard dan Ryan Christoffersen.
Perkampungan tersebut terletak di sebuah kawasan tanah tingi di Guatemala.
 
Sepanjang tempoh tersebut, mereka membelanjakan wang sebanyak AS$224 (RM683.30 ) atau bersamaan AS$1 untuk setiap seorang selama 56 hari.
Wang itu digunakan untuk membeli kayu api, beras, kacang dan makanan ruji lain di samping sewa pondok. Pondok itu tidak mempunyai bekalan air paip. Kumpulan pelajar itu juga terpaksa mencuri tenaga daripada talian elektrik bagi menjana bateri kamera video mereka

Pelajar UTeM berdaya saing

MELAKA – Sejumlah 72 peratus pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mereka tamat pengajian.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, kadar peratusan berkenaan membuktikan pelajar UTeM berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.
"Walaupun kadar peratusan ini tinggi, kita menyasarkan ia terus meningkat sehingga mencecah kadar lebih 80 peratus.
 
Pusat Penempatan Pekerjaan
 
"Pelbagai inisiatif telah diambil bagi mencapai sasaran ini antaranya, program Pusat Penempatan Pekerjaan dengan beberapa industri di negara ini, menjemput wakil-wakil industri ke universiti dan mendedahkan para pelajar tahun akhir dengan kemahiran insan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen ke-8 UTeM di Kampus Induk Durian Tunggal di sini semalam.

Elaun naik 88 peratus

IPOH - Kira-kira 20,000 pelatih peringkat sijil dan diploma di semua institusi latihan Kementerian Kesihatan akan menikmati kenaikan elaun antara 60 dan 88 peratus mulai tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pelatih peringkat sijil akan menerima RM835 sebulan berbanding RM517 sekarang, manakala pelatih peringkat diploma pula menerima RM1,166.58 berbanding RM621.21.
"Kenaikan kadar elaun itu yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013 membuktikan kerajaan sangat prihatin dengan beban kos sara hidup yang ditanggung pelatih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan di sini semalam.
Selain itu, kata Tiong Lai, kementerian juga akan mewujudkan 12,000 jawatan baharu jururawat bagi tempoh 2012 hingga 2015 untuk meningkatkan perkhidmatan kejururawatan selain menampung keperluan klinik dan hospital baharu.

Pena Kampus: Tanggungjawab YB kampus

"TERIMA kasih kerana memilih pro-Aspirasi". Begitulah antara petikan ayat yang dilontarkan ikhlas Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2013, baru-baru ini.
Ucapan penghargaan spontan beliau itu membuktikan harapan seorang pemimpin nombor satu negara kepada kepimpinan anak muda terus menjadi pendukung kesinambungan kepemimpinan negara.
Daripada 20 IPTA yang melaksanakan pilihan raya kampus, baru-baru ini, 18 daripadanya memihak kepada calon prokerajaan.

Bagi penganalisis politik dan pemerhati sosial, sungguhpun dengan kehangatan isu pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang (kononnya) dibimbangi menghangatkan pilihan raya kampus, pilihan raya IPTA berjalan
serentak membuktikan sebaliknya.
Beberapa universiti yang menjadi kubu kuat calon pro-Mahasiswa tewas kepada calon pro-Aspirasi.

Namun, isunya bukanlah kalah menang tetapi keputusan ini satu ujian serta cabaran besar kepemimpinan pelajar di semua IPTA.

Dikatakan bahawa keputusan pilihan raya kampus yang diadakan hampir serentak di semua IPTA adalah realiti gambaran yang dijadikan kayu ukur mengenai kecenderungan penerimaan orang muda terhadap pembaharuan kerajaan pemerintah.

Bagi penulis, walau dengan apa label sekalipun, sama ada mereka ini prokerajaan atau propembangkang dan mungkin 'atas pagar', hakikatnya mahasiswa
yang diangkat menjadi Yang Berhormat (YB) kampus kini menggalas satu tanggungjawab berat ke arah merealisasikan aspirasi dan harapan warga menara gading.

Gelaran YB kampus bukan sesuatu yang boleh dibanggakan hanya disebabkan mencapai populariti menjadi 'orang penting' dalam universiti.

Di sebalik kemenangan itu, janji dan manifesto harus ditepati setiap penyandang jawatan dalam barisan kepemimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Ini menuntut kepada kematangan, daya fikir baik, semangat tinggi, idea bernas serta tindakan konsisten yang berpaksikan kepada kualiti pencapaian.

Barisan kepemimpinan MPP yang baru dilantik perlu bekerja keras, memastikan pembangunan mahasiswa di kampus menepati acuan dasar universiti dan mengikut landasan pembangunan modal insan yang digariskan kerajaan.

Kepemimpinan MPP harus menjadi wadah yang berguna kepada warga kampus dalam menyuarakan hak keperluan ketika belajar di universiti.

Walaupun dalam beberapa keadaan kedengaran isu di mana barisan kepemimpinan MPP yang terlalu idealis 'mengganggu' dasar universiti dan kerajaan, pendekatan berhemah seharusnya dipraktikkan agar dapat membentuk penyelesaian yang memanfaatkan seluruh warga kampus tanpa mencetuskan konflik.

Inilah yang dikatakan pemimpin pelajar sebagai penghubung antara mahasiswa, universiti dan kerajaan. 'Darah muda' bukan lagi pegangan mitos yang seharusnya dijadikan alasan untuk berkelakuan kurang matang, terburu-buru dan kurang pertimbangan.

Penulis percaya seorang mahasiswa tidak ingin menjadi pemimpin jika belum berupaya berfikir atau bersedia ke arah itu.

Sudah tentu mereka berganjak dalam satu ruang kematangan iaitu berani mendepani risiko masa depan. Namun, halangan biasa kepada kematangan mahasiswa adalah emosi dan keinginan melampau yang melangkaui rasionalisme.

Oleh itu, idealisme yang mereka zahirkan kadangkala mencacatkan norma yang diterima umum masyarakat.

Kita berbangga kerana bermula di peringkat universiti, mereka cenderung menjadi pemimpin kerana tidak ramai yang dilahirkan berbakat untuk menjadi seorang pemimpin.

Oleh itu, bagi mahasiswa yang kini bergelar pemimpin, mereka memilih pemimpin sebagai wajah, oleh itu harus bertanggungjawab atas pilihan dibuat.

Seorang pemimpin pelajar bukan sekadar mahir bertanggungjawab, malah lebih penting keupayaan mempertimbangkan sesuatu persoalan bersandarkan ilmu yang ada untuk merealisasikan tanggungjawab dipikul.

Syarat utama adalah dengan adanya ilmu pengetahuan mencukupi. Ilmu yang mencukupi bagi memastikan hasil tindakan tidak tersasar jauh daripada pemikiran seorang pemimpin.

Bagi seorang pemimpin, terlepasnya satu elemen ilmu yang berpotensi mencetuskan perubahan besar kepada masa depan, ia kerugian kepada dirinya.

Rasionalisme pemikiran dalam diri seorang pemimpin mahasiswa harus diusahakan melalui ilmu yang sahih agar cara berfikir membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak.

Pemimpin mahasiswa perlu sentiasa membina personaliti supaya terus konsisten menjadi seorang pemimpin berkarisma, disegani dan dihormati.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata: "Membentuk sesuatu matlamat atau wawasan adalah perkara amat mudah. Siapa saja boleh mencipta cita-cita besar. Tapi di antara cita-cita atau wawasan dengan kemampuan mencapainya terdapat lurah yang amat dalam dan lebar serta rintangan amat besar."


  • Penulis Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Utara Malaysia.
  • Latihan khas siswazah menganggur

    KUALA LUMPUR – Siswazah menganggur kini diberi peluang unik mengikuti program latihan selama enam minggu tajaan kerajaan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
    Dikenali sebagai Graduate Career Accelerated Programme (GCAP), program tersebut menawarkan latihan peningkatan kemahiran untuk mencerahkan peluang siswazah diambil bertugas dalam industri perkhidmatan.
     
    Program latihan berkenaan mengutamakan pemberian pengalaman dan bersifat interaktif untuk memberi kelebihan istimewa kepada peserta, di samping mempersiap lepasan universiti untuk menghadapi cabaran pasaran kerja yang amat berdaya saing kebelakangan ini.
    GCAP ditaja TalentCorp iaitu sebuah badan di bawah Pejabat Perdana Menteri yang diurus My-Partners Sdn. Bhd. dan disusun serta dilaksanakan oleh Scicom Education Group

    Portal eBuku mudahkan pengguna Android

    PENGGUNA aplikasi Android kini boleh melayari portal eBuku selepas pelancaran eSentral Cloud Reader untuk komputer dan Mac.

    Pengasas bersama Xentral Methods Sdn Bhd, Faiz Al-Shahab berkata, aplikasi Android Reader boleh didapati menerusi GooglePlay menyokong eBuku interaktif dalam pelbagai versi sistem operasi melibatkan Gingerbread sehingga Jelly Bean.

    Menurutnya, pengenalan portal digital itu mampu menawarkan kandungan eBuku kepada 87 peratus penggunaan media baru dalam negara.

    "Pada 2011, jelas menunjukkan disebabkan jualan iPad dan iPhone yang tiada tandingan, iOS adalah sistem paling digemari dalam negara.
        
    "Bagaimanapun, senario pasaran peranti moden berubah dan menyaksikan penggunaan lebih banyak peranti Android dalam kalangan pengguna sekali gus menawarkan pengalaman lebih baik," katanya.
           
    Faiz berkata, sebagai contoh, Samsung lebih selesa membekalkan produk bagi setiap kiosk telefon di Malaysia dan Indonesia, walaupun kecil berbanding Apple yang menawarkan di kedai eksklusif.
         
    Kesannya, lebih ramai pengguna memilih menggunakan telefon pintar dan peranti tablet walaupun secara teorinya peranti Android lebih mahal daripada peranti iOS.
         
    "Antara usaha Xentral Methods Sdn Bhd akan datang adalah membina aplikasi eSentral bagi sistem operasi Windows 8 dan RT serta Blackberry OS.
        
    "eSentral adalah portal eBuku utama dalam negara yang mengandungi lebih daripada 1,000 judul eBuku daripada penerbit dan penulis tempatan," katanya.

    MACA tawar program anti rasuah

    Malaysia bakal menjadi pusat kecemerlangan anti rasuah antarabangsa menerusi program peringkat Sarjana yang ditawarkan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini mulai 9 Disember depan.

    Program selama dua tahun itu bukan saja ditawarkan kepada golongan profesional anti rasuah dan pihak berkuasa tempatan malah terbuka kepada peserta dari luar negara termasuk pengamal undang-undang seperti hakim.
    Bagi memastikan program dilaksana dan dirancang secara teliti, akademi melantik enam pakar dalam pelbagai bidang khususnya yang berpengalaman dalam usaha memerangi rasuah peringkat global untuk memberi nasihat kepada akademi itu.

    Ia dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

    Malaysia dipilih IAACA

    Lima lagi ahli yang dilantik, Ketua Cawangan Ekonomi dan Jenayah, Bahagian Perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), Dimitri Vlassis.

    Setiausaha Agung Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat kuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA), Dr Ye Feng; Pengerusi Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA), Martin Kreutner; bekas Timbalan Pesuruhjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong, Daniel Li dan perunding antarabangsa, Dr Chris Saville.
    Sehubungan itu, Abu Kassim mewakili SPRM memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan IACA diwakili Kreutner.

    Abu Kassim berkata, Malaysia satu-satunya negara yang dipilih IACA untuk mengendalikan satu daripada tujuh modul yang diperkenalkan selain Vienna, Austria.

    Terdahulu, Abu Kassim mewakili SPRM menandatangani MoU dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan Thailand (NACC) bagi mewujud kerjasama dalam mencegah dan membanteras rasuah yang diwakili Pesuruhjaya Profesor Pakdee Pothisiri.

    Kursus perguruan untuk 30% pelajar terbaik SPM

    BATU PAHAT — Pengambilan calon untuk Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan diiklankan mulai tahun depan dan sebaliknya akan ditawarkan kepada 30 peratus pelajar lepasan SPM yang memperolehi keputusan terbaik.
    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah tersebut adalah usaha bagi meningkatkan kualiti guru selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
     
    Sebelum ini, katanya, lepasan SPM yang ingin menjadi guru perlu memohon untuk menduduki ujian kelayakan khas atau M-Test dan akan dipanggil untuk temuduga selepas lulus itu.
    Bagaimanapun mulai tahun ini, permohonan untuk mengambil ujian M-Test adalah terbuka kepada semua pelajar SPM pada hari terakhir peperiksaan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    Beliau berkata apabila keputusan peperiksaan SPM keluar nanti, kursus itu akan tawarkan kepada 30 peratus pelajar yang memperoleh keputusan terbaik.

    Jururawat hospital kerajaan ditambah

    KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan mengambil seramai 1,681 orang jururawat lepasan kolej perubatan swasta setiap tahun bagi mengatasi masalah kekurangan jururawat di hospital-hospital kerajaan.
    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pengambilan yang akan dilakukan mulai hujung tahun ini dijangka dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan jururawat lepasan swasta yang semakin meningkat.
     
    "Ketika ini, seramai 66,000 jururawat berkhidmat di hospital dan klinik kerajaan dan jumlah itu masih belum mencukupi, justeru Kabinet semalam (kelmarin) telah bersetuju untuk menambah jawatan jururawat.
     
    "Pertambahan 1,681 jururawat akan dibuat setiap tahun mulai hujung tahun ini dan dalam masa empat tahun kita akan mempunyai seramai 6,726 jururawat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Jururawat Bencana di sini semalam.
    Persidangan itu disertai oleh 38 delegasi dari negara-negara Asia Pasifik.

    Parti liar siswa diserbu

    PETALING JAYA: Mengejutkan apabila sekumpulan remaja, termasuk pelajar kolej swasta, berpakat menganjurkan parti liar yang menyajikan dadah dan seks di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Damansara, di sini, yang turut diubahsuai menjadi disko mini, semalam.
    Kegiatan mereka terbongkar selepas premis itu diserbu pihak berkuasa awal pagi.
    Dalam serbuan jam 3 pagi, 27 lelaki dan lima wanita berusia antara 19 hingga 26 tahun yang kebanyakannya berada dalam keadaan khayal, dicekup.

    Serbuan terhadap disko mini yang dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu dijalankan hasil intipan tiga hari oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, selepas mendapat maklumat awam mengenai kegiatan tidak bermoral di premis berkenaan.

    Sepasukan polis dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menyerbu premis terbabit terpaksa memecahkan jeriji besi pintu utama yang dikunci dari dalam sebelum ke tingkat tiga yang dijadikan ruang untuk berhibur.

    20 siswa Twintech ke Indonesia

    LAWATAN sambil belajar 20 pelajar dari Faculty of Architecture & Built Environment Twintech International University College of Technology (Twintech) ke beberapa destinasi penting di Indonesia, baru baru ini ternyata membawa pelbagai manfaat dan pengalaman baru.
    Pelajar yang mengikuti subjek Landscape & Building Conservation (pemuliharaan bangunan) berpeluang menjejakkan kaki ke beberapa candi terkenal termasuk candi Parambanan, Borobudur, Sambisari, Masjid Lama Kota Gede, Karaton, kampung Kali Code dan tujuh lokasi pilihan lain.
    Ketua rombongan merangkap pensyarah penasihat, Profesor Madya Ar Hayazi Agusi berkata, mereka sentiasa merancang sekurang-kurangnya satu lawatan setiap tahun khusus bagi tujuan berkenaan selepas melawat Kemboja tahun lalu.

    "Kebanyakan destinasi pilihan diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia yang diwartakan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

    "Pelajar dapat belajar ilmu baru dan melihat sejauh mana kerja pemulihan serta pemeliharaan tapak bersejarah ini dilakukan dengan piawaian bertaraf dunia.

    "Ia diharap dapat membuka mata mereka berkaitan aspek sejarah seni bina dan
    pengaruhnya terhadap perkembangan alam bina hari ini baik di negara ini mahu pun seluruh dunia," katanya.

    Program lawatan berkenaan turut memerlukan peserta membuat analisa data dan kajian yang perlu dibentangkan bertujuan membina serta mengukuhkan kefahaman selain keupayaan analitikal.

    Sekali gus memberi pendedahan berkenaan suasana sosiobudaya, anutan agama, ketamadunan, teknologi dan aspek lain masyarakat setempat.

    Selain pemahaman perbezaan satu kelompok masyarakat dengan yang lain turut diterjemahkan dalam manifestasi binaan masing-masing.

    Ketua pelajar rombongan terbabit, Muhamad Zulhilmi Anuwar berkata, dia teruja dengan inisiatif penganjuran lawatan berkenaan dan menyifatkannya sebagai latihan praktikal terbaik.

    "Kami dapat menghayati ilmu yang dipelajari secara teori ketika kuliah kemudian diaplikasikan dalam suasana sebenar dengan piawaian tinggi.

    "Ini satu kaedah membina ilmu dan pengalaman yang harus dipraktikkan sekali gus memudahkan lagi konsep pemahaman," katanya.

    Faculty of Architecture & Built Environment Twintech menawarkan dua program bertaraf Ijazah Sarjana Muda dalam disiplin Quantity Surveying dan Building Surveying di samping empat program Diploma dalam Architecture, Quantity Surveying, Interior Design dan BTEC-HND in Construction.

    Ketahui lebih lanjut berkaitan kursus yang ditawarkan daripada pelbagai peringkat dan disiplin dengan menghubungi 1-300-88-1200, melayari laman sesawang www.twintech.edu, menghubungi 019-6241 585 (Azwan), 03-6286 1200 atau mengikuti laman blog dan facebook.

    UTM hasilkan kereta elektrik teknologi tinggi Mizz EV

    JOHOR BAHRU – Sekumpulan 30 orang penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia berjaya mentransformasikan sebuah kereta Proton Saga BLM kepada sebuah kenderaan elektrik berteknologi tinggi yang diberi nama Mizz EV.
     
    Menariknya, kereta elektrik yang dihasilkan dengan kerjasama sinergi pasukan UTM Evolt yang diketuai oleh Pengurus Pasukannya, Dr. Shahrin Md. Ayob itu berjaya disiapkan dalam tempoh sembilan bulan sahaja.
     
    Menurut Shahrin, Miss EV yang akan dibawa untuk pertandingan Cabaran Mobiliti Hijau Proton 2012 pada 6 hingga 7 Oktober ini dilengkapi aspek pembinaan sistem kenderaan elektrik, pengurusan sistem bateri, pengurusan haba dan teknologi pemacu motor.
     
    "Kereta elektrik yang dibina khas untuk tujuan perlumbaan itu menggunakan casis Proton Saga BLM dan ia adalah hasil aplikasi daripada penyelidikan makmal dan pembelajaran yang dilakukan oleh UTM sebelum ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.
     
     

    1,000 syarikat tubuh taska

    PETALING JAYA 2 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan menyasarkan sebanyak 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan ibu menyertai pasaran kerja.
    Perdana Menteri berkata, ia boleh dilaksanakan kerana kerajaan memberi pelbagai insentif kepada syarikat swasta untuk mendirikan taska seperti geran RM10,000 dan pelbagai potongan cukai menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak.
    Kata Najib, beliau akan turut meminta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa melaksanakan usaha pembinaan taska di setiap kementerian, jabatan serta agensi kerajaan bagi tujuan sama.
     
    Katanya, usaha itu diharap menggalakkan golongan ibu berpendidikan menyertai usaha pembangunan ekonomi negara tanpa perlu bimbang mengenai penjagaan anak di rumah akibat kepayahan mendapatkan khidmat pembantu rumah kini.
    "Kerajaan berbelanja besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti adalah wanita, tapi hanya 46 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini adalah kerugian besar negara kerana ada yang terkeluar daripada pasaran kerja walaupun ada pendidikan.
    "Selain itu kita juga akan mendirikan taska untuk orang kurang upaya (OKU) yang tidak pernah kita buat dan kita nak mulakan tidak lama lagi. Inilah dasar mesra wanita serta mesra rakyat," katanya.
     
    Najib yang juga pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 dengan tema 'Wanita Pencetus Ekonomi Baru' di Pusat Konvensyen Sunway di sini hari ini.
    Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan ekonomi negara apabila mereka bukan sahaja digalak menyertai perniagaan kecil-kecilan tetapi turut berperanan di peringkat pembuat dasar dalam sektor awam.
    Malahan, katanya, penglibatan wanita dalam merangka dan menentukan dasar di sektor awam kini lebih ramai berbanding penyertaan mereka dalam sektor swasta.
     
    Keadaan itu, menurut beliau, menunjukkan wanita zaman ini bersifat trifungsi iaitu sebagai isteri, ibu dan tenaga kerja.
    "Kementerian kini sudah ada senarai 200 wanita berkelayakan tinggi dan syarikat senaraian awam swasta. Jangan beri alasan tidak dapat melantik wanita sebagai ahli lembaga pengarah, datang sahaja ke kementerian dan anda boleh pilih," katanya.