Berkumpul di Facebook

Kerja apa selepas universiti?

SEJAK kecil lagi anak-anak sering ditanya, "Sudah besar nanti hendak jadi apa?"
Soalan yang sangat klise ini boleh dikatakan ditanya kepada semua kanak-kanak, baik daripada ibu bapa si kecil itu atau orang terdekat mereka.
Mengapakah soalan itu ditanya? Soalan ini antara lain untuk memberikan bayangan kepada anak-anak bahawa suatu masa nanti, mereka akan besar dan bukan selama-lamanya menjadi kanak-kanak.

Soalan ini juga seolah-olah memberitahu kanak-kanak itu bahawa apabila besar nanti, mereka perlu bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup. Mungkin ada banyak lagi sebab lain mengikut penilaian masing-masing.

Berabad lamanya, tidak kira di mana saja, ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah demi mengubah nasib hidup dan membanggakan keluarga serta negara. Kalau tidak pun nasib ibu bapa, nasib anak itu sendiri.

Semakin moden, bukan hanya anak lelaki yang dihantar belajar tinggi-tinggi, tetapi juga anak perempuan. Kini dengan adanya sistem kelayakan, anak perempuan nampaknya lebih ramai yang menjejak kaki ke universiti. Namun kini, ada yang mengatakan menjadi lulusan universiti tidak menjanjikan apa-apa selagi empunya diri tidak berusaha meningkatkan diri untuk berjaya.

Baik lelaki atau perempuan, setelah seseorang anak itu berjaya menempatkan diri ke alam universiti, apakah harapan semua orang terhadap diri mereka?
'Semua orang' yang dimaksudkan ialah dirinya sendiri, ibu bapa, keluarga, orang terdekat dan ahli masyarakat secara amnya.

Tentu saja semua itu mengharapkan dia tamat pelajaran dan mendapat kerja yang baik, sekali gus dapat menyara hidupnya dan membantu keluarga.

Lulus dengan cemerlang perkara kedua. Tamat belajar dan seterusnya mendapat pekerjaan lebih utama. Itulah harapan yang menggunung tinggi.

Bagaimana sekiranya sudah lama menggenggam ijazah, tetapi belum juga mendapat kerja tetap? Jenuh mencari dan menghadiri sesi temu duga, tetapi tidak berjaya? Tentu saja kekecewaan bukan hanya melanda diri, tetapi ramai lagi pihak terbabit.

"Pelajar universiti adalah 'bahan asas' yang melalui proses kehidupan ketika di universiti, seterusnya ia mencorakkan masa depan kejayaan mereka mendapat kerja selepas itu. Sekiranya mereka gagal mendapat kerja, ia satu kegagalan yang menyeluruh. Mungkin kerana pensyarah, pentadbir dan industri. Mungkin kerana pelajar itu sendiri," kata Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Norsaadah Ismail.

Benar kata-kata itu. Semua pihak terbabit dalam menghasilkan pelajar yang berjaya dan kemudian mendapat kerja yang baik. Sekiranya kita menyedari hakikat berkenaan, kita tidak mudah menuding jari menyalahkan satu-satu pihak saja apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini.

"Kami melahirkan pekerja untuk industri jadi pihak industri harus membantu," kata Dr Norsaadah.

Beliau menjelaskan, pejabat Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri & Masyarakat (JIM), UiTM ditubuhkan pada 2007. Ia berhubung rapat dengan Alumni UiTM dan kini Pejabat Timbalan Naib Canselor bertukar nama kepada Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (JIM&A).

Pejabat JIM&A juga dikenali dengan nama singkatan ICAN dalam versi bahasa Inggeris. Visi Pejabat ICAN adalah untuk menjadikan UiTM sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik (asas dan gunaan).

Ini bagi melahirkan golongan Bumiputera yang dinamik, berdaya saing, beretika dan bertaraf dunia dalam semua bidang. Setelah itu, graduan UiTM berjaya menempatkan diri mereka di arena pekerjaan.

"Kami tidak mahu mengecewakan pelajar, ibu bapa dan kerajaan. Inilah harapan semua orang. Apabila anak itu dihantar ke universiti, semua orang mahu dia mendapat kerja dan membantu keluarganya semula. Bagaimana setelah bertahun-tahun belajar dan bergelar siswazah, anak itu tidak mendapat kerja terutama daripada keluarga susah

yang diharap dapat mengubah nasib keluarga? Bagaimana hendak mengubah kehidupan mereka tanpa pekerjaan?" katanya.

Keadaan inilah yang dibantu ICAN. Setiap fakulti dan kampus cawangan ada petugas khas yang ditugaskan untuk melihat kebolehan pasaran graduan. Mereka mengenal pasti fakulti yang memiliki graduan bermasalah untuk mendapat kerja.

"Satu persatu kami kenal pasti punca graduan menganggur serta peratusan yang tidak bekerja berdasarkan fakulti selain kursus yang mencatatkan paling ramai graduan tidak bekerja. Kami memastikan lebih 80 peratus graduan UiTM mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pelajaran," katanya.

Bagaimanapun, keadaan graduan yang tidak bekerja bukan semata-mata kerana mereka tidak diterima oleh pihak industri. Ada juga punca lain contohnya perkahwinan yang sering membabitkan graduan perempuan.

"Sekiranya graduan perempuan yang berkahwin, kami tidak begitu risau sebaliknya jika graduan lelaki tidak bekerja, itu yang merisaukan kami.

"Berkahwin atau tidak, graduan lelaki kena bekerja kerana mereka menyara keluarga. Tetapi ada juga graduan lelaki yang tidak bekerja makan gaji kerana mereka membuka perniagaan sendiri. Itu hal lain pula," katanya.

Menurut Dr Norsaadah, setiap fakulti harus mengkaji sehingga ke akar umbi sebab graduan kursus mereka tidak bekerja. Sekiranya ia membabitkan kurikulum,
maka kurikulum itu harus diubah.

"Pihak kami perlu berhubung rapat dengan industri yang memerlukan pekerja. Daripada situ kami tahu apa yang mereka mahu serta boleh membuat perubahan dan penyesuaian.

"Fungsi ICAN bukanlah mencarikan kerja untuk graduan sebaliknya membantu kes tertentu. Namun dalam pada itu, kami mahu pelajar tahu sebab industri tidak
mahu mengambil mereka bekerja. Mereka harus sedar sejak awal lagi dan kesedaran ini kami jelaskan di dalam kelas sejak mereka di semester pertama.

"Baru-baru ini saya bercakap dengan pelajar tahun satu. Saya beritahu mereka jangan sangka alam universiti sebagai sambungan kepada tingkatan lima. Alam universiti ini sesuatu yang berkait rapat dengan dunia pekerjaan yang bakal mereka lalui tiga tahun lagi," katanya.

Tambah Dr Norsaadah, Kementerian Pengajian Tinggi memang menekankan kepada pihak universiti supaya memastikan kurikulum yang ada memenuhi kehendak industri. Begitu juga kemahiran insaniah seperti kebolehan komunikasi, kerja berpasukan, keyakinan dan aspek lain yang perlu ada. Ini semua persediaan supaya pelajar tidak canggung untuk bekerja dan boleh menyesuaikan diri dengan mudah.

"Pasaran kerja tidak sekadar mencari siswazah yang lulus cemerlang, tetapi mereka juga harus ada kelebihan lain yang memikat bakal majikan. Kebolehan komunikasi dan bahasa Inggeris amat penting, begitu juga keyakinan," katanya.

Butiran lanjut mengenai fungsi pejabat ICAN boleh diperoleh di laman http://ican.uitm.edu.my.

Graduan guru, IPTA dilantik jawatan PPPS

Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan institut pendidikan guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tamat pengajian tahun ini akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41.

Daripada jumlah itu, 2,960 orang yang tamat pengajian Jun lalu sudah ditempatkan secara interim dan dalam proses ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 adalah langkah jangka pendek kerajaan bagi mengatasi masalah penempatan guru baru.

Katanya, pelantikan itu bagaimanapun tertakluk kepada memenuhi syarat skim PPPS, membuat permohonan kepada SPP dan lulus temu duga.

"Baki 7,755 graduan yang tamat pengajian pada September dan Disember tahun ini, perlu memohon jawatan PPPS Gred DG41 secara online ke SPP melalui Jobs Malaysia dalam laman sesawang SPP bagi temu duga pada tahun depan," katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai langkah jangka pendek dan jangka panjang diambil kementerian bagi memastikan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

Mohd Puad berkata, kementerian juga menjalankan kajian norma perjawatan, unjuran, dasar penempatan dan pertukaran guru serta kumpulan pelaksana mulai tahun depan, bagi membangunkan model baru pengurusan sumber manusia pendidikan di negara ini bermula 2014.
Menjawab soalan tambahan Khairy mengenai rayuan 63 graduan ISMP yang gagal temu duga SPP, Mohd Puad berkata mereka akan diberi peluang kedua.

Junior Spell Master tingkat penguasaan bahasa Inggeris

MARAN 14 Nov. - Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang menganjurkan program Junior Spell Master bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid sekolah rendah di negeri ini.
Pengerusi penganjur Junior Spell Master 2012, Noli Maishara Nordin berkata, program itu merupakan salah satu aktiviti khidmat sosial yang dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Bank Rakyat Cawangan Jengka dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Maran.
Katanya, program yang julung-julung kali diadakan itu melibatkan penyertaan 16 buah sekolah dan terbuka khusus untuk murid tahap satu.
Beliau berkata, para peserta berentap bagi merebut gelaran juara Junior Spell Master 2012 yang antaranya membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Desa jaya, SK Ulu Jempol, SK (LKTP) Jengka 1, SK (LKTP) Jengka 9, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Min dan SK Felda Jengka 22.

Andai pinjaman pelajaran ditiadakan

Iklan berjimat cermat yang ditayangkan di televisyen, menarik perhatian. Iklan itu menunjukkan langkah yang diambil oleh seorang ayah untuk menyediakan segala keperluan bagi membina keluarga termasuk pembiayaan pelajaran anak. Anaknya pula mengucapkan terima kasih ke atas budi dan jasa ayahnya yang mengambil berat soal pelajaran untuk memastikan anak-anaknya berjaya.

Iklan itu menggambarkan realiti hari ini yang mana walaupun kerajaan memberi pelbagai kemudahan pelajaran di sekolah rendah dan menengah, ibu bapa masih perlu menampung perbelanjaan mereka. Di institusi pengajian tinggi (IPT) hari ini, mereka mendapat bantuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir. Pembangkang berkempen untuk menghapuskan pinjaman PTPTN tanpa mengkaji kesannya kepada rakyat khasnya mereka yang berpendapatan rendah. Cadangan penghapusan PTPTN adalah salah satu tindakan popular yang diambil parti itu semata-mata untuk memenangi pilihan raya. Mereka menjadikan kesukaran membayar balik pinjaman sebagai alasan. Mereka sebenarnya tahu bahawa tanpa PTPTN, anak-anak tetap memerlukan wang untuk menampung perbelanjaan mereka. Selain perbelanjaan harian, anak-anak memerlukan wang untuk keperluan pelajaran, kenderaan atau setidak-tidaknya tambang ke sana ke mari, komputer, kemudahan internet, telefon bimbit yang sudah menjadi keperluan penting dan sebagainya. Mereka juga tahu siapakah atau golongan manakah yang memerlukan pinjaman itu. Tanpa pinjaman, ia adalah satu penganiayaan kepada golongan ini.


Bagi ibu bapa, ketiadaan bantuan pinjaman akan menyebabkan mereka mencari sumber lain untuk mencari wang jika mahu anak mereka melanjutkan pelajaran ke IPT. Jika tidak ada sumber yang sanggup memberikan mereka wang, jalan paling mudah ialah memberhentikan anak-anak daripada meneruskan cita-cita mereka. Paling ditakuti ialah apabila ibu bapa terpaksa mendapatkan pinjaman daripada peminjam tidak berlesen atau along. Untuk mendapatkan pinjaman bank bukanlah mudah. Bank memerlukan jaminan bayar balik dan pelbagai syarat sebelum pinjaman boleh dikeluarkan. Apa logiknya PTPTN ditiadakan, sedangkan ibu bapa terpaksa meminjam di bank pula.

Seorang penjawat awam menyatakan kebimbangannya terhadap sikap pembangkang yang gelojoh. Menurutnya, beliau pelik dengan idea pembangkang yang dianggapnya sebagai ugutan kepada rakyat itu. Pembangkang langsung tidak memikirkan kumpulan sasaran yang mengharapkan pinjaman itu. Bagi orang berada, ia bukanlah masalah besar kepada mereka, Tetapi, bagi kebanyakan orang Melayu khasnya anak petani dan mereka yang makan gaji, ketiadaan pinjaman itu boleh menjadi masalah besar kepada kehidupan mereka.

Sejak pembangkang melontarkan cadangan memansuhkan pinjaman PTPTN, ada antara ibu bapa yang anak mereka belajar di sekolah menengah, mula mengikat perut. Mereka terpaksa mengurangkan segala perbelanjaan untuk menyimpan wang sebagai persediaan jika anak mereka memasuki IPT. Sebelum ini mereka tidak begitu bimbang kerana ada jaminan mendapat pinjaman untuk menyambung pelajaran. Menurutnya, beliau mula menyimpan wang selepas mendengar usul daripada pembangkang untuk menghapuskan PTPTN. Sekarang ini, anak-anak berpeluang memasuki institusi pengajian tinggi dengan jaminan akan mendapat pinjaman PTPTN. Ibu bapa tidak begitu bimbang untuk menyediakan wang bagi menampung segala perbelanjaan pelajaran dan keperluan lain. Sekiranya PTPTN ditiadakan, bermakna ibu bapalah terpaksa menyediakan segala perbelanjaan.

Jika dua atau tiga orang anak yang menuntut di IPT, ia tentunya menyulitkan kehidupan mereka. Beliau berpendapat, jika tidak mahu keadaan ini berlaku, tidak ada sebab rakyat perlu menyokong pembangkang.