Berkumpul di Facebook

Baca al-Quran bantu lebih fokus, dapat 10A 1B STAM

Kota Bharu: "Amalan membaca al-Quran, berpuasa sunat dan solat hajat membantu saya lebih fokus serta tenang menghadapi peperiksaan," kata pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu, Wardah Mat Ali, 19, yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), semalam.
Wardah memperoleh Mumtaz untuk mata pelajaran Hifz al-Quran dan Tajwid, Fiqh, Tauhid dan Mantiq, Tafsir dan Ulumuhu, Hadith dan Mustolah, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus, 'Arudh dan Qafiyah, dan Balaghah, manakala dalam mata pelajaran Insya' dan Mutala'ah, dia memperoleh Jayyid Jiddan.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu turut menjadikan contoh kejayaan dua abang dan tiga kakaknya melanjutkan pengajian di Mesir, Madinah dan Maghribi sebagai pendorong dan pembakar semangatnya untuk memperoleh kejayaan.
Berkongsi tips kejayaannya, anak pasangan Mat Ali Ngah, 54, dan Noriah Ismail, 53, dari Kampung Bayam di sini, berkata, dia memberi 100 peratus tumpuan ketika sesi pembelajaran selain kerap bertanya soalan kepada guru jika tidak faham.

"Saya membuat latih tubi bersama rakan dan belajar berkumpulan. Bagi membantu meningkatkan daya ingatan, saya amalkan memakan kismis serta kurma yang sememangnya baik untuk kesihatan," katanya yang memperoleh 10A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia sebelum ini.

67.4 peratus lulus STAM 2012

Putrajaya: Seramai 3,925 calon atau 67.4 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) memperoleh sijil sekurang-kurangnya peringkat Maqbul (lulus) bagi tahun 2012.Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na'imah Ishak berkata semua calon membabitkan peringkat Mumtaz (cemerlang) iaitu seramai 385 calon, Jayyid Jiddan (sangat baik) seramai 1,263 calon, Jayyid (baik) seramai 1,868 calon, manakala selebihnya calon mendapat peringkat Maqbul.
Menurutnya, bagi calon yang mendapat peringkat Rasib (gagal) ialah seramai 1,893 calon menurun 3.9 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 1,963 calon.

"Pada tahun lalu, seramai 5,818 calon menduduki peperiksaan STAM terdiri daripada calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, sekolah menengah agama negeri, sekolah menengah agama rakyat, sekolah menengah agama swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan calon persendirian," katanya pada sidang media pengumuman STAM, di sini, hari ini.

Elemen vokasional dalam sekolah K9

Konsep Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) yang mengandungi elemen Pendidikan Asas Vokasional (PAV) di peringkat menengah rendah di semua sekolah menengah harian diyakini dapat melengkapi murid Orang Asli dengan pelbagai kemahiran sebagai persiapan sebelum memasuki alam pekerjaan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad berkata, melalui PAV murid akan dididik dengan pembelajaran kerjaya yang banyak dipengaruhi faktor persekitaran selain hutan melalui kemahiran diri antaranya termasuklah pertukangan, automotif, solekan dan kemahiran hidup lain.
 
Misalnya, di Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, pelajar Orang Asli K9 di Kuala Lipis, Pahang itu diajar menerusi kecenderungan mereka sendiri yang lebih kepada kemahiran automotif dan solekan di kalangan pelajar perempuan, katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Boleh ambil keputusan STAM bermula 10 pagi

PUTRAJAYA: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 akan diumumkan pada 30 Januari ini. Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran, calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing mulai 10 pagi hari yang sama.

Bagi calon persendirian, keputusan akan dimaklumkan melalui pos atau
menghubungi Jabatan Pelajaran negeri tempat mereka mendaftar.

Seramai 8,822 calon menduduki STAM di 116 pusat peperiksaan di seluruh negara, tahun lalu.

Mereka adalah 3,999 calon dari Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 2,697 calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 681
calon Sekolah Agama Rakyat, 1,359 calon persendirian dan 49 calon sekolah
menengah swasta.

Calon juga boleh menyemak keputusan melalui mySMS 15888 dengan menaip STAM
[angka giliran] dan hantar ke 15888 mulai 10 pagi, 30 Januari sehingga 11.59 malam, 5 Februari.

461 murid terima bantuan persekolahan

TELUK INTAN 16 Jan. - Seramai 461 murid Sekolah Kebangsaan Dato' Laksamana Raja Mahkota di sini masing-masing menerima Bantuan Persekolahan RM100 yang disampaikan dalam satu majlis di sekolah berkenaan.
Majlis penyampaian disempurnakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parlimen Teluk Intan, Azhar Jamaludin.
Sementara itu, ibu bapa yang ditemui memberitahu bantuan itu melegakan mereka terutama yang mempunyai ramai anak bersekolah.
Abdul Malek, 54, berkata, pemberian itu juga tanda kerajaan menunaikan janji yang telah dibuat sebelum ini kepada rakyat.
''Terima kasih. Bantuan yang diberi ini secara tidak langsung dapat meringankan beban saya yang menanggung persekolahan cucu kerana ibu bapanya berpisah," katanya ketika ditemui pada majlis itu di sini semalam.
 
Safari Mohd. Yusof, 55, pula berkata, wang tersebut akan digunakannya untuk membeli barang keperluan sekolah anak-anaknya yang masih belum lengkap.
''Meskipun sekolah sudah lama dibuka, tapi ada juga barang keperluan anak-anak yang masih tidak dibeli kerana kekurangan wang.
''Jadi, bantuan ini dapat digunakan untuk tujuan itu. Terima kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri," katanya.
G. Gouin Damal, 42, berkata, walaupun pemberian RM100 itu satu jumlah tidak banyak, namun cukup bermakna untuknya yang mempunyai lima anak bersekolah.
''Terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan saya harap bantuan ini dapat diteruskan sampai bila-bila," katanya

Bantuan khas awal persekolahan RM100: Ibu bapa akan terima secara berperingkat sehingga 15 Februari

Batu Pahat: Sebanyak RM498 juta peruntukan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada setiap 4.98 juta pelajar di seluruh negara akan diagihkan mulai esok.
Ia diberikan terus kepada ibu bapa secara berperingkat sehingga 15 Februari depan.

 
Kita akan pastikan bayaran akan berjalan lancar. Pihak sekolah diingatkan supaya membayar terus RM100 kepada ibu bapa tanpa apa-apa potongan hutang tertunggak atau bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata peruntukan sebenar yang disediakan bagi 2013 adalah RM540 juta, termasuk untuk pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat, tetapi kementerian belum menerima jumlah sebenar pelajar terbabit.

Bayar tanpa potong hutang tertunggak

"Bagaimanapun, kita akan pastikan bayaran akan berjalan lancar. Pihak sekolah diingatkan supaya membayar terus RM100 kepada ibu bapa tanpa apa-apa potongan hutang tertunggak atau bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya selepas program ramah mesra bersama penduduk Bakau Chondong di Parit Gantung, di sini semalam.

Sementara itu, Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, berkata RM3.8 bilion dibelanjakan kerajaan tahun lalu bagi bantuan pendidikan kepada pelajar di seluruh negara.
Rancangan makanan tambahan

Katanya, ia termasuk Rancangan Makanan Tambahan, makanan di asrama harian dan asrama penuh, Biasiswa Kecil Persekutuan sekolah menengah, bantuan tuisyen, bantuan buku teks serta Susu 1Malaysia.

"Contohnya makanan di asrama penuh dan harian, kos makanan pelajar adalah RM15 sehari, tetapi ibu bapa hanya perlu membayar RM1 sahaja, manakala RM14 lagi ditanggung kerajaan membabitkan minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam serta minum lewat malam.

"Semua pelajar di asrama harian atau asrama penuh layak menerima subsidi ini, manakala pelajar asrama desa menerima 100 peratus bantuan tanpa perlu membayar apa-apa.

"Malah, untuk Biasiswa Kecil Persekutuan bagi pelajar sekolah menengah, penerima dibayar RM300 setiap seorang," katanya.

Empat inisiatif pelan pendidikan diutama

Putrajaya: Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada empat inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini. Inisiatif pertama ialah memperkenalkan Program Rakan Pembimbing Peningkatan Sekolah (SI Partners) Plus dan Program Jurulatih Khas Peningkatan Sekolah (SISC) Plus di Kedah dan Sabah.
Ia sebahagian usaha membimbing guru Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik, terutama di sekolah yang berada dalam Band Lima, Enam dan Tujuh. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kedua-dua program itu memberi faedah kepada pengetua, guru besar dan guru.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, inisiatif kedua ialah menilai 70,000 guru opsyen BI menerusi Cambridge Placement Test (CPT) dan kemudian guru dibahagi mengikut tiga kategori berdasarkan keputusan ujian .

Bagi guru yang tidak mencapai tahap kemahiran ditetapkan, latihan separuh masa akan diberikan. Dalam 100 hari ini, kementerian bercadang melatih 5,000 guru BI, ketika menyampaikan perutusan tahun baru kementeriannya di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, inisiatif PPPM lain dalam Gelombang Pertama 2013, seperti meningkatkan kemahiran berfikiran aras tinggi (HOTS) dalam kalangan murid diteruskan.
Latihan HOTS membabitkan 31,000 guru Sains dan Matematik Tingkatan Satu, Dua dan Tiga dilaksanakan dengan harapan menjelang akhir Gelombang Pertama, kira-kira 20 peratus soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah berasakan pemikiran aras tinggi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, bagi memperlihat kejayaan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), lapan keberhasilan perlu dicapai menjelang akhir tahun ini, termasuk 100 peratus literasi bahasa Malaysia.

Katanya, keberhasilan lain ialah numerasi Tahun Tiga serta peningkatan ketara literasi bahasa Inggeris (BI).

Ini termasuk memastikan 100 peratus guru opsyen BI lulus satu tahap penguasaan lebih tinggi dalam Ujian Penempatan Cambridge (CPT) serta 50 peratus pengurangan sekolah Band enam dan tujuh di Kedah dan Sabah.

Beri gambaran awal kepada anak

Setiap kali penggal baru persekolahan bermula, pasti berlaku perubahan kepada anak-anak sama ada bersekolah di tempat baru, menerima guru atau rakan baru, malah perbezaan dalam sistem pembelajaran terutama berubah darjah atau tingkatan.

Suasana ini pastinya satu saat yang ditunggu-tunggu bukan saja ibu bapa, malah anak yang pastinya berdebar-debar menjejaki ke alam baru dalam pembelajaran dan pergaulan harian mereka.
Bagi anak dari sekolah rendah ke menengah, tentu ada yang berasa keliru, tertanya-tanya dan tidak sabar melangkah ke alam remaja, sekali gus menjadikan mereka maju setapak lagi sebagai pelajar yang menjadi kebanggaan ibu bapa dan harapan guru di sekolah.


Apa juga persiapan dilakukan perlulah merangkumi persediaan mental dan fizikal kerana cabaran bakal dihadapi berbeza ketika belajar di sekolah rendah berbanding ke tahap menengah atau mereka yang duduk di rumah tetapi kini tinggal di asrama.

Sebagai ibu bapa pula apakah jenis persediaan yang perlu dilakukan? Perlukan ibu bapa membuat persediaan minda sebagai mana yang dialami anak?

Bagaimana sebagai ibu bapa mereka memastikan anak bergaul dengan rakan tanpa ada gejala atau unsur negatif meresapi anak mereka seperti masalah disiplin?

Bagi Nor Alia Liew Abdullah, 42, beliau agak teruja melihat anak bongsunya, Sheikh Razin Naif Sheikh Nora Fizul Afandi, 13, menjejaki alam persekolahan menengah meskipun sedikit gusar apabila memikirkan mengenai pelbagai gejala disiplin yang kebelakangan ini banyak dilaporkan di media massa.
Beliau mahu memastikan anaknya belajar dalam suasana positif, selain mempunyai rakan sebaya yang membawa pengaruh baik.

Anak saya agak pendiam dan tidak banyak bercakap. Apabila masuk ke sekolah menengah kerana dia akan bertemu rakan baru, persekitaran baru dan guru juga baru.

Tentu ada perubahan dalam jadual pembelajarannya nanti dan sebagai ibu tugas kita bantu suntik semangat supaya sedia melalui pengalaman baru.

Ia mungkin menyeronokkan kerana mereka sudah menjadi pelajar sekolah menengah atau melangkah ke alam remaja, katanya ketika ditemui menemankan anak menyelesaikan urusan pendaftaran kemasukan pelajar baru di Sekolah Menengah Bandar Baru Sungai Long, Cheras, minggu lalu.

Lebih merisaukan apabila kini banyak gejala negatif membabitkan remaja di sekolah menengah.

Saya kira di mana-mana pun ada ada berlaku masalah disiplin. Jadi saya mempersiapkan dia dengan situasi sekiranya dia mengalami sebarang masalah pergaulan dengan rakan di sekolah, dia tidak boleh berdiam diri.

Paling saya ingatkan ialah sekiranya berlaku pergaduhan atau perkara tidak diingini di sekolah, jangan babitkan diri dan jika dia dibuli, segera memberitahu guru, katanya.

Bagi gambaran awal

Begitupun, Nor Alia yakin anaknya boleh menangani situasi alam persekolahan menengah kerana beliau juga turut menerangkan dan memberi gambaran kasar kepada anaknya mengenai sesi orientasi atau suai kenal di sekolah.

Beliau yang juga pengusaha TASKA dan TADIKA di Mahkota Cheras, berkata kadang kala laporan dan paparan di akhbar mengenai kes buli atau samseng membabitkan pelajar menengah di negara ini membuatkan beliau berfikir panjang mengenai masa depan pelajar yang terbabit dengan gejala itu.

Saya mempunyai dua anak lelaki yang sedang membesar. Jadi perkara berkenaan kadang kala muncul dalam minda saya. Saya menasihati Razin supaya jangan biarkan dirinya dibuli, sebaliknya jika berlaku hal tidak diingini, beritahu guru dan elak berkawan dengan rakan yang tidak membina.

Anak seperti rakan

Katanya, menangani anak remaja tidak sama dengan anak yang belajar di sekolah rendah kerana persekitaran dan suasana pembelajaran adalah berlainan. Sehubungan itu, cabaran mahupun tekanan dihadapi juga tidak sama.

Mungkin ada baiknya juga menjadikan anak seperti kawan dan tidak terlalu kongkong kegiatan anak, tapi pada masa sama memantau supaya anak tidak tersilap langkah.

Saya yakin dia akan seronok menghadapi alam persekolahan peringkat menengah kerana dia akan berjumpa rakan baru dan bernasib baik juga kerana abangnya bersekolah di sekolah sama. Jadi dia boleh meminta tunjuk ajar abangnya jika tidak pasti mengenai sesuatu di sekolah berkenaan, katanya.

Anak buat keputusan

Bagi Muzlina Abd Muaz, 40, melepaskan anak bongsu bersekolah di asrama penuh adalah suatu perkara yang agak merisaukan memandangkan anaknya, Muhammad Imran Elias, 13, tidak pernah berpisah dengan keluarga.

Dia membuat pilihan sendiri untuk meneruskan Tingkatan Satu di sekolah asrama kerana mahu belajar berdikari. Saya beri dorongan dan yakin boleh menyesuaikan diri dengan suasana baru.

Memang sebelum ini ketika bersama keluarga, dia tidak biasa melakukan tugas seperti membasuh dan menggosok pakaian sekolahnya. Selepas ini apabila tidak lagi bersama saya, dia perlu melakukannya sendiri, katanya mengulas mengenai Imran yang begitu teruja untuk mula belajar di Kolej Yayasan Saad (KYM), Melaka.

Muzlina sedikit risau sekiranya anak tidak boleh mengikuti rentak dan sistem pelajaran di sekolah berasrama memandangkan ketika belajar di sekolah rendah, tiada pengurusan masa yang perlu diikuti.

Apabila masuk ke sekolah berasrama, dia perlu menguruskan masa dengan betul, menguruskan diri sendiri dan mesti menumpukan pada pelajaran kerana tiada alasan untuk mengabaikan pelajaran selain suasana persekitaran juga sangat kondusif untuk belajar, katanya.

Muhammad Imran berkata, beliau memilih sekolah berasrama kerana ingin belajar berdikari walaupun sebelum ini agak keliru sama ada ingin memilih meneruskan pelajaran di tingkatan satu di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) atau di KYS.

Saya membuat kajian di internet, bertanya rakan dan mendapatkan beberapa sumber lain mengenai kedua-dua sekolah. Sama ada sekolah asrama atau tidak, yang penting saya sebagai pelajar yang perlu berusaha dan belajar bersungguh-sungguh.

Saya tahu sekolah berasrama mungkin ada lebih banyak cabaran. Sekolah yang saya pilih ini, kedua-duanya bagus tapi saya pilih KYM kerana ia lebih dekat dan memudahkan mama menjenguk saya, katanya.

Permaisuri Agong bangga MSU muncul universiti cemerlang

SHAH ALAM 6 Jan. - Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Management and Science University (MSU) mengekalkan kedudukannya sebagai antara universiti cemerlang di Malaysia menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi 2011 (Setara 11). Seri Paduka yang merupakan Canselor MSU bertitah, kejayaan yang dicapai oleh MSU adalah berkat kegigihan semua pihak di universiti tersebut berusaha mencapai kecemerlangan dan meletakkan kualiti mereka sama taraf dengan universiti-universiti terkemuka di negara ini.
 
"Sesungguhnya beta merasa amat bangga apabila dimaklumkan tentang pencapaian MSU yang telah berjaya menempatkan diri sekali lagi dalam 'tier 5' iaitu universiti cemerlang di Malaysia.

SBP - Imtiaz Kemaman bakal tampung 1,000 pelajar

KEMAMAN 2 Jan. - Pembinaan Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Kemaman dengan kos RM60 juta di Kijal dekat sini yang mampu menampung sehingga 1,000 orang pelajar dijangka siap pada akhir tahun ini.Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, penubuhan kompleks cawangan kelima sekolah berasrama penuh milik kerajaan negeri itu bagi menampung permohonan kemasukan yang begitu tinggi setiap tahun termasuk dari negeri-negeri lain.
 
"Imtiaz Kemaman telah beroperasi selama dua tahun di bangunan sementara di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun yang menempatkan 200 orang pelajar tingkatan satu dan dua.

Keputusan Muet November 2012 diumum Selasa

KUALA LUMPUR - Keputusan ujian Malaysian University English Test (Muet) bagi sesi November 2012 akan dikeluarkan 8 Januari depan, menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini.      

Seramai 75,634 orang menduduki ujian itu.

Calon yang mendaftar di sekolah atau institusi boleh mendapat keputusan di sekolah atau institusi masing-masing mulai pukul 10 pagi manakala calon persendirian akan memperolehnya melalui pos.

"Calon juga boleh menyemak keputusan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip MUET<jarak>RESULT<jarak><nombor kad pengenalan> dan dihantar ke 15888, mulai pukul 12:01 tengah malam 8 Januari atau melalui online dengan melayari portal MPM iaitu http://www.mpm.edu.my mulai pukul 9 pagi pada tarikh tersebut," kata kenyataan itu.

Bagi calon yang mahu membuat semakan semula keputusan mereka, boleh berbuat demikian dengan membuat bayaran sebanyak RM70 yang tarikh tutup rayuan ialah pada 14 Januari.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web MPM di www.mpm.edu.my.

Bagi calon yang ingin mengambil semula MUET atau memperbaiki keputusan, mereka boleh membuat pendaftaran untuk sesi Mac 2013 secara online melalui laman web MPM atau menerusi www.mesp.gov.my/online. - Bernama

Muhyiddin lawat sesi baru persekolahan di Sekolah Kebangsaan Alam Megah Dua

SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan lawatan sempena pembukaan sesi persekolahan 2013 di Sekolah Kebangsaan Alam Megah Dua, di sini.

Dalam lawatan selama 40 minit itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meninjau suasana di dalam kelas dan bermesra dengan murid peringkat pra sekolah hingga Tahun 6.
Turut mengiringi lawatan itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Ros Aini Che Man.

Ros Aini berkata, Timbalan Perdana Menteri berpuas hati dengan keadaan pembelajaran di sekolah yang menggunakan modul kurikulum KSSR yang sudah memasuki tahun ketiga.
 
p/s: Pn Aini jangan garang-garang ya.

Unisel tutup 9 asrama

SHAH ALAM 2 Jan. - Kira-kira 6,000 penuntut Universiti Selangor (Unisel) yang akan memulakan sesi pengajian mereka tidak lama lagi terpaksa tinggal di luar kampus di Bestari Jaya, Kuala Selangor dekat sini, berikutan sembilan asrama universiti milik kerajaan negeri itu ditutup untuk kerja-kerja pembaikan.
Utusan Malaysia difahamkan, penutupan itu dibuat atas arahan Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berikutan wujudnya masalah binaan termasuk struktur bangunan yang dikatakan tidak selamat didiami penuntut.
 
Malah, masalah itu dikatakan turut melibatkan keretakan pada bangunan asrama-asrama berkenaan termasuk masalah mendapan tapak bangunan tersebut yang dibina di kawasan bekas lombong.
Pegawai Perhubungan Awam Unisel, Hasril Abu Hassan yang mengesahkan penutupan itu berkata, pihaknya telah menyediakan lima lokasi penempatan sementara sebagai asrama para penuntut universiti terbabit.