Berkumpul di Facebook

BB1M bukti kerajaan peka hal pelajar

Pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta membuktikan bahawa kerajaan peka dengan masalah dan bebanan yang ditanggung oleh golongan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi menjelaskan, pemberian BB1M oleh kerajaan dilihat amat diperlukan oleh pelajar terutamanya untuk membeli buku rujukan.
 
''Kita perlu tahu bahawa ada golongan pelajar yang berasal daripada golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan ketika melanjutkan pelajaran.

GPMS saran pengguna BB1M dihad kepada buku Ilmiah

KUALA LUMPUR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyarankan kepada kerajaan supaya mengehadkan penggunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada pembelian buku ilmiah sahaja.
Timbalan Presidennya Ezaruddin Abd Rahman berkata ini berikutan terdapat segelintir mahasiswa menyalahgunakan BB1M untuk membeli bahan bukan akademik seperti majalah hiburan dan cakera padat (CD).
"Seharusnya BB1M ini digunakan untuk membeli bahan bacaan berilmiah sahaja memandangkan kebanyakan buku-buku ini berharga ratusan ringgit dan ramai yang tidak mampu untuk membelinya, maka bantuan yang diberi mesti digunakan dengan
sebaiknya," katanya kepada Bernama.
 
Beliau turut kecewa terhadap tindakan sesetengah pekedai yang cuba mengambil kesempatan menawarkan pembelian makanan menggunakan baucar BB1M yang jelas sekali jauh tersasar daripada niat murni kerajaan mengurangkan beban mahasiswa dalam urusan pembelajaran.
"Saya berharap supaya kerajaan melihat balik senarai kedai yang beroperasi menerima BB1M ini supaya ia tidak disalahgunakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
 
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) Izham Ismail turut menasihati mahasiswa supaya bijak menggunakan BB1M dengan cara membeli buku akademik dan keperluan pembelajaran yang berkaitan.
"Sebagai seorang mahasisiwa yang berwawasan kita harus menghargai pemberian kerajaan ini dengan menggunakannya untuk keperluan yang betul-betul diperlukan sahaja supaya apa yang kita perolehi dapat dimanfaatkan dengan betul," katanya.
Lebih 1.3 juta pelajar yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), matrikulasi dan Tingkatan Enam menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) melibatkan peruntukan tambahan ditanggung kerajaan sebanyak RM325 juta.
Beberapa mahasiswa yang ditemui Bernama pula bagaimanapun tidak bersetuju sekiranya BB1M dihadkan kepada bahan bacaan ilmiah sahaja kerana keperluan mahasiswa melebihi lingkungan itu.

Pelajar Perubatan Universiti Malaya Nur Sakinah Abd Razak, 23, berkata penuntut universiti bukan sekadar bergantung kepada buku ilmiah semata-mata sebaliknya ada sesetengah kursus memerlukan peralatan khas bagi menjayakan projek akhir.
"Saya berasa lega dengan pengumuman kerajaan menaikkan BB1M daripada RM200 kepada RM250, namun jika penggunaanya dihadkan, ia dirasakan seperti menyekat kebebasan mahasiswa untuk membuat pilihan semasa menggunakan baucar BB1M ini," katanya.
Pelajar Diploma Teknologi Animasi Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka Norashikin Mad Isa, 21, berkata BB1M yang diperuntukkan kerajaan tidak perlu dipersoalkan had penggunaannya sebaliknya bergantung kepada inisiatif mahasiswa itu sendiri untuk memanfaatkan dengan cara betul.

Pelajar Pengurusan Pendidikan Universiti Antarabangsa UNITAR Norliana Muhammad, 22, berkata tidak salah sekiranya menggunakan baucar BB1M untuk membeli bahan bacaan selain daripada bahan ilmiah seperti novel kerana ia juga salah satu penyumbang idea yang kreatif kepada pembaca.
"Hanya 30 peratus sahaja yang digunakan untuk membeli selain daripada bahan ilmiah," katanya

SPA: Graduan kelas pertama diberi keutamaan

BAGAN DATOH - Graduan yang memperoleh ijazah kelas pertama dari pusat pengajian tinggi luar negara diberi keutamaan untuk berkhidmat dalam sektor awam di negara ini, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya khidmatan Awam (SPA), Datuk R. Segarajah.

Beliau berkata, lulusan cemerlang tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau kerajaan negeri juga diberi keutamaan untuk bekerja dalam sektor awam.

"Mereka (lulusan) akan melalui temuduga untuk membolehkan mereka membuat pilihan atau dilantik terus ke dalam perkhidmatan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Interaksi SPA bersama ketua jabatan persekutuan, badan-badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) daerah Hilir Perak di sini hari ini.

Sekiranya tidak mahu berkhidmat dalam sektor awam, mereka dibenarkan bekerja di sektor swasta melalui pengurusan Talent Corporation Malaysia Berhad, katanya.

Katanya, setakat ini seramai 100 lulusan cemerlang dari pusat pengajian tinggi luar negara ditawarkan untuk berkhidmat dalam sektor awam.

Beliau berkata, perkhidmatan sektor awam di negara ini tidak banyak kekosongan kerana umur pesaraan telah dilanjutkan dari 58 tahun kepada 60 tahun dan ini sekali gus mengurangkan jumlah mereka yang bersara.

"Berikutan itu, mereka yang ingin bekerja di sektor awam hanya untuk jawatan baru yang ditawarkan sahaja bukannya untuk mengisi kekosongan penjawat awam yang telah bersara," katanya

INSTEDT jadi Kolej Universiti 2014

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) kini mengorak langkah ke arah pembentukan Kolej Universiti menjelang 2014.Kolej tersebut telah berjaya berkembang menjadi salah sebuah kumpulan pendidikan tinggi swasta milik bumiputera yang terbesar di negeri Johor sejak penubuhannya pada 1997.
 
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Sharul Azila Mohd. Salleh (gambar) berkata, ini membolehkan tawaran khusus di peringkat ijazah ditawarkan kepada pelajar bagi memenuhi keperluan pasaran kerja di negara ini.
Katanya, INSTEDT kini sedang dalam persediaan ke arah status tersebut dan dalam proses menghantar dokumen kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
 
"INSTEDT melahirkan graduan yang berkualiti tinggi selari dengan kehendak pasaran kerja dan keseluruhan graduan mendapat mendapat pekerjaan dalam tempoh yang singkat.

Pangkalan data tunggal permudah guru

KEMENTERIAN Pelajaran telah membangunkan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) yang bukan sahaja dapat mengurangkan beban tugas guru malah memudahkan capaian kepada maklumat murid dari peringkat prasekolah hingga kolej matrikulasi.Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Sufa'at Tumin berkata, APDM mengelakkan guru melakukan kemasukan data berulang kali dalam pelbagai sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak di kementerian termasuklah Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan sistem lain yang berkaitan.
 
''APDM dijadikan pangkalan data utama dan tunggal untuk menyediakan data bersepadu murid yang boleh diguna sama oleh pelbagai sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak di kementerian pada masa akan datang.
 

Dana SPP1M bantu pelajar - rm1 billion

PUTRAJAYA - Kerajaan memperkenalkan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M) dengan dana permulaan sebanyak RM1 bilion yang memberi kemudahan pinjaman kewangan tambahan kepada golongan pelajar di peringkat pengajian tinggi. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, ia merupakan satu lagi transformasi dalam pendidikan yang direalisasikan oleh kerajaan untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
 
Katanya, skim itu berperanan menyediakan pinjaman tambahan kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia ada untuk pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang perubatan serta bidang-bidang kritikal.
"Yuran pengajian terutamanya bidang-bidang profesional dan kritikal di institusi pengajian tinggi swasta tempatan dan juga institusi pengajian tinggi di luar negara adalah tinggi.
 
"Walaupun dengan adanya pinjaman PTPTN, ramai pelajar terutamanya daripada golongan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana perlu mempunyai dana sendiri untuk menampung yuran pengajian anak mereka," katanya ketika berucap melancarkan skim itu di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.
 
Najib memberitahu, buat permulaan, pinjaman itu akan disediakan melalui dua institusi kewangan iaitu Maybank serta RHB Bank dengan kadar faedah pinjaman lebih rendah berbanding biasa.
Pelajar di universiti-universiti tempatan boleh mengemukakan permohonan untuk skim itu bermula April depan manakala mereka yang telah berada di luar negara boleh memohon pada Jun.
Pada tahun lalu, terdapat 943,548 pelajar melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi di negara ini manakala 89,686 pelajar lagi menuntut di luar negara.

UTM tawar biasiswa kepada 10 penduduk Gaza

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan biasiswa kepada 10 kakitangan akademik beberapa universiti di Gaza.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, biasiswa yang ditawarkan adalah dalam bentuk pengecualian yuran pengajian bagi melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dengan jumlah kos keseluruhan bernilai RM400,000 untuk tempoh tiga tahun.
Menurut beliau, sebagai permulaan untuk tahun ini, dua kakitangan akademik daripada universiti terpilih akan ditawarkan biasiswa tersebut.
"Menjelang 2015 iaitu tiga tahun dari sekarang, lapan lagi kakitangan akademik akan dipilih untuk diberikan biasiswa.
 
"UTM menawarkan biasiswa dalam bidang teknologi pembinaan, sistem kumbahan dan bekalan air bagi membina semula kemudahan asas yang musnah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Zaini, tawaran biasiswa oleh UTM itu dibuat sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju menawarkan 100 biasiswa pengajian tinggi kepada penduduk Gaza semasa lawatan beliau ke wilayah tersebut baru-baru ini.
 
"UTM turut memberi pengecualian yuran pengajian kepada enam pelajar PhD, 10 pelajar sarjana dan 13 pelajar sarjana muda dari Palestin yang sedang mengikuti pengajian di UTM membabitkan kos RM1.3 juta pada semester baharu iaitu selepas Tahun Baharu Cina.
"Skim pembantu tenaga pengajar juga ditawarkan kepada 10 pelajar PhD yang membabitkan elaun sebanyak RM1,600 sebulan selama empat tahun," jelasnya.

Sembilan IPTS jalani semakan kelestarian

CYBERJAYA 31 Jan. - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyemak kelestarian sembilan buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang bermasalah bermula Februari ini.IPTS terbabit ialah Universiti Selangor (Unisel); Kolej Universiti Insaniah (KUIN); Malaysian University of Science and Technology (MUST); Asian Institute of Medicine, Science & Technology (AIMST) University; Twintech University College of Technology; Kolej Universiti Islam Selangor; Linton University College; Kuala Lumpur Metropolitan University College; dan Lincoln University College.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semakan menerusi inisiatif yang baharu diperkenalkan itu bertujuan mengesan perjalanan sesebuah IPTS seperti tadbir urus dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Logo pjjusm yg aku saja2 buat