Berkumpul di Facebook

Soalan peperiksaan SPM lebih memihak kepada pelajar perempuan?

"SAYA belajar bersungguh-sungguh, tumpukan perhatian semasa guru mengajar, mengulang kaji pelajaran, tanya cikgu jika tak faham dan banyak buat latihan." Biasanya inilah jawapan apabila ditanya sebab pelajar cemerlang dalam peperiksaan.
Memang benar sikap pelajar sebegini menjadi faktor penting menentukan kejayaan akademik. Bagaimanapun terdapat beberapa faktor lain seperti faktor guru, pentadbir sekolah, kemudahan pengajaran dan pembelajaran, prasarana sekolah, keluarga, rakan sebaya, masyarakat dan persekitaran luar sekolah.
Berdasarkan kajian, seorang pakar pendidikan di Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Dr. Rahayah Arifin mendapati prestasi pelajar lelaki dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin menurun sejak 15 tahun lalu berpunca daripada bentuk soalan peperiksaan yang lebih memihak kepada pelajar perempuan.
Menurutnya, soalan SPM lebih menjurus kepada kemahiran menulis, teks dan linguistik yang lebih dikuasai pelajar perempuan. Manakala soalan yang mengandungi elemen berkaitan angka, grafik, visual, logik dan matematik tidak ditekankan dalam SPM sedangkan inilah yang lebih dikuasai pelajar lelaki.
Dalam menyediakan set soalan untuk sesuatu kertas peperiksaan biasanya ada keseimbangan antara tiga aras kesukaran iaitu soalan mudah, soalan sederhana dan soalan yang lebih mencabar. Soalan juga hendaklah meliputi semua tajuk utama dalam sukatan pelajaran supaya taburannya lebih menyeluruh.
Eloklah Lembaga Peperiksaan Malaysia meneliti populariti soalan berdasarkan jantina ini dan menilai kesesuaiannya, dalam proses pembinaan soalan untuk kita berlaku adil. Keseimbangan soalan yang memihak kepada pelajar lelaki dan perempuan wajar diambil kira. Kasihan pelajar lelaki kerana selama ini bentuk soalan lebih memihak kepada pelajar perempuan.
Namun pelajar lelaki perlu membaiki disiplin diri. Kita kerap mendengar pelbagai masalah pelajar seperti ponteng sekolah, ponteng kelas, kurang memberi perhatian ketika guru mengajar, tidak minat belajar, malas berfikir serta tidak mengulangkaji pelajaran. Juga tiddak buat kerja rumah, tiada jadual belajar, selalu berkeliaran dan sebagainya.
Jika pelajar lelaki masih terus mendominasi sikap negatif tersebut, prestasi cemerlang SPM akan tetap memihak kepada pelajar perempuan.

Dua pelajar MRSM Betong menang pingat emas di Geneva

BETONG 24 April - Dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong, Wilson Mujang dan Sharifah Badriatul Afiqah berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas dalam Pertandingan Kejuruteraan Alam Sekitar Antarabangsa di Geneva, Switzerland baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang ketika mengumumkan perkara itu berkata, kejayaan dua pelajar berkenaan amat membanggakan dan kerajaan negeri sedia mempertimbangkan untuk memberi insentif khas kepada mereka.
"Wilson Mujang dan Sharifah Badriatul Afiqah akan meneruskan perjuangan mereka dalam satu lagi pertandingan serupa di Houston, Texas, Amerika Syarikat (AS) bulan depan.
"Oleh itu, insentif khas mungkin akan diberikan kepada dua pelajar ini pada penghujung tahun ini, bergantung kepada pencapaian mereka di AS nanti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Komputer 1Malaysia kepada 847 pelajar dari MRSM Betong, Kolej Vokasional Betong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Kedit di sini, semalam.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkelili, Dr. Johnical Rayong serta Residen Betong, Datuk Romie Sigan.
Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri dalam pada itu berkata, pemberian komputer riba 1Malaysia membolehkan pelajar luar bandar tidak ketinggalan menikmati teknologi canggih sebagaimana rakan mereka di bandar.
Sehubungan itu katanya, kemudahan tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan sekali gus mencipta kejayaan lebih cemerlang dalam pelajaran.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap MRSM Betong terus memainkan peranan menyediakan peluang kepada pelajar luar bandar menikmati kemudahan pendidikan berkualiti.
"Selain itu, adalah menjadi harapan saya untuk melihat anak kaum Penan berjaya melanjutkan pelajaran di MRSM Betong suatu hari nanti," katanya