Berkumpul di Facebook

Guru sekolah Mesir tuntut cerai daripada suami pro-Morsi

Kaherah: Seorang guru sekolah Mesir memfailkan tuntutan cerai daripada suaminya, seorang penyokong kuat Presiden Mohammad Mursi, yang dilaporkan sering mendera dan memukulnya kerana mengkritik dasar pemimpin berkenaan, lapor media tempatan, semalam.

Dalam tuntutan difailkan di sebuah mahkamah keluarga Kaherah, wanita berusia 31 tahun itu berkata beliau sering kali dipukul suaminya, 36, yang berbeza pendapat mengenai Morsi sejak pemimpin terbabit mengambil alih tugas setahun lalu, lapor akhbar bebas, Al Youm Al Saba.
Diserang secara fizikal


Setiap kali Morsi menetapkan satu keputusan, masalah besar tercetus antara pasangan suami isteri itu sehingga memaksa si isteri meninggalkan rumah selepas diserang secara fizikal oleh suaminya, kata dokumen mahkamah terbabit.

Beberapa usaha oleh keluarga pasangan itu untuk menyelamatkan perkahwinan mereka selama 12 tahun berkenaan tidak menunjukkan hasil.

Dia terlalu berkeras memberikan sokongan melulu terhadap Morsi.

Saya tidak boleh lagi bertahan untuk hidup dengan lelaki ini. Jadi saya memutuskan untuk ke mahkamah, kata wanita yang dipetik melalui dokumen mahkamah berkenaan.
Sifatkan isteri tak bijak

Bagaimanapun suaminya, seorang kakitangan kerajaan memberitahu mahkamah bahawa perbalahan mereka tidak terlalu serius. Sebaliknya menyifatkan isterinya itu sebagai tidak bijak kerana memilih mahkamah bagi menyelesaikan mahkamah mereka.

Dalam perbalahan kami mengenai Presiden Morsi, isteri saya terlalu provokatif.

Beliau sering mempermainkan keputusan Morsi dan mendengar kepada saluran televisyen beracun yang menyebarkan penipuan mengenai presiden terbabit, kata dokumen mahkamah yang memetik suami berkenaan.

Mahkamah belum lagi memutuskan permohonan cerai wanita berkenaan.

Morsi sejak beberapa bulan kebelakangan ini sering mendapat kritikan dari pembangkang yang mendakwa kegagalan beliau dalam memenuhi objektif revolusi yang membawa kepada pemerintahan beliau

SJK perlu dijenamakan semula

KUALA LUMPUR 19 Jun - Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah mencadangkan agar kerajaan menjenamakan semula Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjadi sekolah pengajian bahasa yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Katanya, SJK wajar dijadikan sekolah kerajaan yang masih mengekalkan aspek fizikal, namun mengutamakan pembelajaran berkaitan bahasa ibunda berbilang kaum di negara ini.
 
"Kalau kita bercakap tentang polisi pelajaran, kini ada tiga aliran iaitu sekolah swasta, sekolah kebangsaan dan SJK. Tetapi apa peranan SJK? Apa keperluan tentangnya?
"Saya cadangkan SJK ditukar kepada sekolah di mana kita boleh belajar bahasa. Apa sahaja telah sekolah kebangsaan sediakan, SJK tidak perlu lagi menyediakannya, semua orang akan pergi ke sekolah yang sama. Ini boleh memupuk perpaduan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan Percambahan Minda bertajuk 'Kedudukan Sekolah Vernakular daripada Perspektif Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan' di sini hari ini.
Mohd. Noor dalam pada itu berkata, kewujudan SJK sebenarnya tidak selari dengan Artikel 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sambil mempersoalkan dasar pendidikan yang membenarkan sistem persekolahan vernakular wujud di negara ini, Mohd. Noor berkata, dasar itu sebenarnya memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Kenapa adakan sekolah berasingan untuk masyarakat? Bukankah baik jika kita pergi ke satu sekolah dan belajar apa sahaja yang kita hendak di sana," katanya.
Katanya, penyatuan sudah pasti akan berlaku apabila semua rakyat Malaysia pergi ke sekolah yang sama kerana tiada lagi jurang perbezaan antara pelbagai kaum.
"Masa rehat dan sekolah habis boleh bersama-sama. Bayangkan rakyat Malaysia boleh hidup begitu. Keadaan inilah yang tidak ada masa kini," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan juga, kewujudan SJK merupakan satu bentuk diskriminasi kerana memberikan keutamaan kepada kaum tertentu sahaja, namun tidak memperoleh kelebihan kepada komuniti lain.
"SJK Cina dan India antara lain mengajar bahasa Cina dan Tamil. Sementara kerajaan tidak mewujudkan sekolah kebangsaan untuk kaum-kaum lain. Bagaimana pula dengan bumiputera Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai keturunan?," soal beliau.
Oleh kerana itu, Mohd. Noor menegaskan adalah penting sekolah satu aliran iaitu sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan diwujudkan di negara ini.

Universiti jual 400 ijazah PhD palsu

Shillong: Polis India menyiasat sebuah universiti di India kerana disyaki mengeluarkan lebih 400 ijazah doktor falsafah (PhD) palsu dalam tempoh setahun, kata pihak berkuasa, semalam.

Polis menahan empat pegawai kanan dari Universiti CMJ di negeri timur laut Meghalaya kerana disyaki memalsukan dan menipu manakala polis kini memburu canselor yang disyaki melarikan diri.
"Kami tidak tahu di mana beliau, kerana beliau sering kali menukar lokasi," kata pegawai kanan polis negeri, Sunil Kumar Jain kepada AFP.


Universiti persendirian yang ditubuhkan pada 2009 di Shillong itu mengeluarkan 434 ijazah PhD sepanjang tahun pengajian 2012 dan 2013 walaupun ia adalah fakulti kecil.

Keadaan menimbulkan kecurigaan di kalangan pihak berkuasa tempatan yang kemudiannya membuat aduan polis.

Satu ijazah PhD di Universiti CMJ mengambil masa dua hingga lima tahun dan bernilai sehingga 127,000 rupee (RM6,908) kata laman webnya.

"Dengan niat baik, universiti terbabit dibenarkan untuk beroperasi tetapi disebabkan hal ini ia benar-benar memalukan," kata Ketua Menteri Meghalaya, Mukul Sangma.
Masalah serius di India

Pemalsuan pengiktirafan adalah satu masalah serius di India, disebabkan permintaan tinggi bagi kelayakan, rasuah dan peraturan yang lemah selain perkembangan sektor pendidikan yang drastik.

Pada 2011, satu siri pemalsuan lesen juruterbang didedahkan manakala pada 2010 polis menahan ketua badan kebangsaan bertanggungjawab mengeluarkan sijil perubatan kerana disyaki menerima rasuah.

The Times of India melaporkan kelmarin bahawa ijazah PhD dari CMJ dijual antara $4,000 (RM217) hingga $10,000 (RM543) dengan jumlah bayaran menentukan betapa cepat kelayakan itu akan dikeluarkan